Semangat kebangkitan mangsa banjir Kelantan
Di ruang dapur sementara di laman sebuah rumah yang ranap semasa banjir di Kampung Laloh di Kuala Krai, kelihatan Rozita Mat Saad dan beberapa anggota keluarganya sibuk memasak nasi goreng ikan bilis dalam kuali besar.Di bahagian itu, yang ditutupi dengan sisa bahan bangunan yang dapat diselematkan selepas banjir besar tahun lepas itu juga kelihatan beberapa anggota keluarga Rozita sedang menggoreng beberapa jenis kuih tempatan berasaskan ubi keledek seperti 'Cek Mek Molek'."Sengaja masak lebih, nanti sesiapa yang mungkin belum boleh nak masak sebab rumah masih teruk atau dapur belum elok boleh makan di sini, apa yang ada kita kongsi walaupun sedikit," katanya dengan nada lembut.Rozita terpaksa menumpang di rumah ibu bapanya kerana rumahnya sendiri yang terletak 500 meter dari situ hanya tinggal tapak kerana dihanyutkan air."Tak apa, apa yang dah jadi kita redha dahulu. Doa kita nanti Allah mudahkan untuk bina semula rumah, boleh balik tinggal di rumah sendiri," kata Rozita yang berharap keluarganya dapat kembali memulakan rutin harian seperti sebelum ini.Bangkit semulaRozita adalah antara beribu-ribu penduduk di Kelantan yang bangkit semula untuk memulakan kehidupan baru selepas berlakunya banjir besar hingga menyebabkan lebih 134,000 orang kehilangan tempat tinggal dan beribu-ribu buah rumah dan infrastruktur musnah di negeri ini.Walaupun mereka redha dengan takdir yang menimpa namun mereka tidak berputus asa dengan kehidupan.Tinjauan rambang Bernama selama seminggu pada awal Januari sebaik selepas banjir besar itu, melalui dari Gua Musang hingga ke Kuala krai, kira-kira 180 kilometer mendapati bahawa penduduk Kelantan mula menunjukkan reaksi untuk bangkit semula memulakan kehidupan.Beberapa orang seperti peniaga sayur-sayuran, Muhammad Salleh, 57, dan isterinya Maimun Mamat, 56, ketika ditemui Bernama telah memulakan perniagaan menjual sayur secara bergerak di sekitar Kampung Manek Urai Lama.Kedai mereka di Kampung Sungai Mengkuang dekat pekan Kuala Krai turut dinaiki air separas pinggang, dalam masa yang sama rumah mereka juga ditenggelami air."Memang ada kerugian, tapi inilah cara kira bangkit semula. Jalankan semula perniagaan. Dalam masa yang sama dapat bantu orang kampung yang mungkin lama tak merasa makan sayur," kata Muhammad.Peniaga pasar tani, Syukri Din, 45, pula berkata sebenarnya peniaga perlu terus berniaga kerana khidmat mereka lebih diperlukan dalam masa sekarang."Mangsa banjir terlalu sibuk bersihkan rumah, nak masak pun belum tentu dapur boleh diguna, jadi kita peniaga dapat mudahkan urusan mereka dengan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.Beliau turut berpendapat etika sebagai peniaga perlu dijaga agar tidak mengambil kesempatan terhadap golongan yang sedang kesusahan, terutamanya dengan menaikkan harga produk dan perkhidmatan.Tinjauan Bernama sekitar Kuala Krai juga mendapati para peniaga gerai makanan sudah mula berniaga, termasuk pasar raya terbesar di sini, Pasar rsya Pantai Timur juga sudah mula dikunjungi orang ramai.Bukan mengharap bantuan semata-mataMeskipun pelbagai bentuk bantuan diumumkan pelbagai pihak kerajaan dan swasta, apa yang benar-benar bermain di fikiran lebih 2,000 mangsa banjir ialah berkenaan pembinaan semula rumah mereka yang hanyut dibawa bah.Ahmad Hamzah, 52, tinggal bersama isterinya Sarimah Bakar, 50, mempunyai 11 orang anak. Sembilan daripadanya masih tinggal bersama mereka di Kampung Manek Urai Lama."Bagi saya, bantuan perumahan yang hendak ditawarkan, saya terima dengan tangan terbuka. Dalam masa yang sama, jika diberi alatan dan bahan, kami sanggup juga berusaha membina semula rumah secara perlahan-lahan," kata Ahmad.Tambah beliau, memang pada mulanya, hati beliau hancur luluh melihat keadaan rumah yang dibina di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin yang didiami mereka sejak 1997 hanyut dibawa arus.Yang tinggal hanyalah tangga batu yang kini menjadi asas kepada pelantar sementara menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh."Saya sayu, sedih bahkan mengalirkan air mata melihat keadaan itu, tapi sampai bila nak meratap? Bahkan ramai orang datang bantu bagi macam-macam dari makanan, pakaian sekolah anak-anak, yang bagi duit pun ada."Ini yang buat kita bersemangat nak mula semula dari bawah. Saya tidak patah hati. Nak bangun semula rumah di tanah ini dan kembali hidup seperti biasa. Tak mengapa walau perlahan-lahan tapi yang penting kita tak putus asa," jelas beliau yang masih dalam pengawasan doktor selepas melalui pembedahan pintasan jantung pada Mac 2014.Bagi Sarimah pula, beliau berharap rumahnya dapat dibina semula dengan kadar segera dan bantuan seperti makanan dan barang keperluan lain terus diterima sehingga keadaan stabil.Sambut baik bantuanSementara itu, di penempatan sementara mangsa banjir di tapak Bandar Utama Gua Musang, lebih 100 keluarga memilih untuk tinggal di sini sementara menanti rumah transit mereka siap.Penempatan ini ialah langkah segera yang diambil Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan yang dipengerusikan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed, yang juga ahli Parlimen bagi Jeli.Langkah seterusnya ialah menyediakan kediaman berbentuk transit sementara proses pembinaan rumah kekal untuk semua mangsa disiapkan dalam jangka masa terdekat.Penempatan ini turut dilengkapi kemudahan asas seperti air, elektrik dan makanan percuma disediakan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).Mariam Zainuddin, 32, tinggal bersama suami dan empat orang anaknya kehilangan rumah dibawa arus bah, tinggal di sini sejak ia dibuka pada 12 Dis, 2014."Kalau nak ikut perasaan memang kita tak mahu tinggal tapak rumah. Tapi untuk mudahkan urusan banyak pihak, termasuklah urusan kita sendiri, kita sambut baik cadangan tinggal di sini," kata Mariam.Pendapat sama dikongsi Saodah Salleh, 56, dan suami, Ramli Yaacob, 60, yang tinggal di sini bersama anak dan cucu-cucunya. Yang paling kecil berusia satu tahun setengah.Sambil menjerang air untuk bancuhan susu buat cucunya, Saodah memberitahu Bernama, mangsa-mangsa banjir memang sudah bersedia untuk hidup susah buat sementara, demi memudahkan pembangunan semula yang memberi kebaikan jangka panjang untuk semua.- Bernama
ไม่มีความคิดเห็น :
แสดงความคิดเห็น